Friday, March 8, 2019

Bila Badrul Bicara: Ada Benarnya Nasihat Segelintir Netizen, Tapi Bukankah Kita Patut Dengar Kedua Belah Pihak?


Penceraian bukanlah satu perkara yang paling dikehendaki oleh mana-mana pasangan. Malah antara perkara yang dibenci oleh Allah SWT. 

Tetapi ada ketikanya memang tak boleh nak dielakkan. Setelah berusaha untuk menyelamatkan tetapi masih tidak berjaya, kita terima sebagai ketentuan Tuhan.



Bukan sahaja suami dan isteri yang akan berbekas atas penceraian, tetapi juga anak-anak. Perit oiiii! Apatah lagi kalau anak yang masih kecil dan perlukan kasih sayang kedua-duanya.

Namun dalam kes Rita Rudaini dan Aidil Zafuan, ramai di antara kita di luar daripada keluarga ini tidak tahu apa yang berlaku.



Seperti saya juga, semuanya kita dapat daripada apa yang ditulis di akhbar dan mungkin sekarang ini di media sosial.

Setiap kali Rita memuat naik sesuatu tentang anak-anak di Instagramnya, ramai yang memberi kata-kata peransang dan sokongan. Saya rasa itu tidak ada masalah.



Tetapi yang menjadi masalah adalah pada masa yang sama, ada segelintir netizen yang cuba menyalahkan Aidil yang dikatakan tidak ambil tahu tentang anak-anaknya bersama bekas isteri, Rita.

Macam-macam tuduhan, kata-kata cacian yang dibuat pada Aidil. 'Bapa yang tidak boleh diharap', 'nanti tua akan menyesal', 'tak ada perasaan' dan bermacam lagi.



Perkara ini selalu membuatkan saya berfikir, benarkah Aidil Zafuan seorang ayah seperti itu? Adakah begitu kejam insan yang bernama Aidil ini sehingga sanggup melupakan darah daging sendiri?

Kita hanya mendengar cerita sebelah pihak sahaja. Kita langsung tidak ambil tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apakah perasaan Aidil sebenarnya.



Saya juga tidak salahkan Rita untuk menegakkan haknya atau apa sahaja yang dirasakan perlu dibuat, tetapi membiarkan netizen menjatuhkan 'hukuman' pada Aidil saya rasa agak tidak adil.

Bukankah ketika mereka berdua berkahwin dulu disebabkan cinta antara satu sama lain? tidak ada paksaan untuk mereka bercinta dan berkahwin sehingga mempunyai dua orang cahaya mata.



Selebihnya adalah cerita-cerita yang dikongsi kepada wartawan dan juga di media sosial. Itu yang saya baca dan itulah yang saya rumuskan. Saya rasa netizen lainnya juga mendapat maklumat seperti saya, dari media massa dan media sosial.

Kalau anda rajin melihat Instagram, lihat sahaja Instagram Aidil. Dia tidak pernah memadamkan gambar-gambarnya bersama kedua anak terunanya itu. Baca juga apa yang ditulis Aidil.



Tiada yang saya harapkan selain daripada Aidil pada suatu hari nanti dapat bertemu kedua anaknya itu. Walaupun sudah bahagia dengan keluarga baru, darah daging tetap darah daging. Tidak boleh diubah!

Saya tidak kenal kedua-duanya secara peribadipun. Rita saya kenal sebagai pelakon, dan Aidil pula sebagai pemain bola sepak Malaysia.

Saya tiada hak untuk menasihati mereka berdua, tetapi hanya luahan sebagai seorang bapa tunggal yang tentunya mahu melihat anak-anak sendiri berjaya dalam apa jua sekalipun.



Mungkin kita semua boleh bantu doakan supaya kedua-dua belah pihak dan sesiapa sahaja yang terlibat dilembutkan hati mereka demi anak-anak tercinta, dan bukannya menjatuhkan hukuman menyebabkan jarak mereka semakin jauh.

Bukan tanggungjawab kita, tetapi kalau kita sering menumpang memberikan komen di ruangan Instagram mereka, apa kata kita biarkan mereka selesaikannya sendiri, dan kalau kita prihatin, kita doakan mereka. Mungkin itu lebih afdal.

Wallahualam.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

loading...


EmoticonEmoticon